Top·

Ekosistem OGSE Sabah: Pemilik, penyumbang dan pemangkin masa depan industri

Ekosistem OGSE Sabah: Pemilik, penyumbang dan pemangkin masa depan industri

Sabah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tonggak utama industri minyak dan gas negara dengan menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak serta kira-kira 20 peratus bekalan gas Malaysia.

Sabah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tonggak utama industri minyak dan gas negara dengan menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak serta kira-kira 20 peratus bekalan gas Malaysia. Sumbangan itu bukan sahaja memperkukuh ekonomi negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan. Lebih penting, Sabah kini tidak lagi sekadar dikenali sebagai negeri pengeluar sumber, sebaliknya muncul sebagai pemacu pembangunan ekosistem industri minyak dan gas yang semakin matang, didorong kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, PETRONAS dan pemain industri. Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perubahan itu membuktikan Sabah kini memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju industri tenaga negara. "Sabah bukan lagi sekadar pemerhati. Kita adalah pemilik, penyumbang dan pemangkin yang membentuk masa depan industri minyak dan gas negeri ini," katanya ketika Persidangan dan Pameran Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah 2026. Ekosistem semakin kukuh Antara faktor utama yang memacu perubahan itu ialah pelaksanaan Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS yang memperluaskan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri. Pengarah Eksekutif SMJ Energy Sdn Bhd, Terry Biusing, berkata dasar di bawah CCA berjaya meningkatkan penglibatan kontraktor Sabah dalam sektor huluan, hiliran serta projek gas asli cecair terapung (FLNG). Hasilnya, jumlah vendor OGSE Sabah yang berdaftar dengan PETRONAS meningkat daripada hanya 75 syarikat pada 2018 kepada 377 syarikat pada 2025. Nilai kontrak yang dimenangi syarikat tempatan pula melonjak daripada RM750 juta pada 2021 kepada RM2 bilion pada 2025, manakala pemilikan kontrak meningkat hampir 20 kali ganda. Menurut Terry, pencapaian itu menunjukkan vendor Sabah bukan sahaja semakin bertambah, malah lebih diyakini untuk melaksanakan projek berskala besar. Bagaimanapun, beliau berkata tumpuan kini perlu beralih daripada sekadar menambah bilangan vendor kepada usaha memperkukuh kapasiti operasi, keupayaan teknikal dan daya saing syarikat tempatan. "Dengan perbelanjaan OGSE di Sabah mencecah kira-kira RM8 bilion setahun, masih banyak peluang bernilai tinggi yang boleh diterokai syarikat tempatan, terutama dalam pembangunan medan kecil dan projek laut dalam," katanya. PETRONAS perkasa vendor tempatan Bagi PETRONAS, pembangunan vendor tempatan bukan sekadar memenuhi sasaran kandungan tempatan, tetapi membina ekosistem industri yang lebih mampan dan berdaya saing. Pengurus Besar Kanan Kumpulan Perolehan PETRONAS, Mohd Razali Kamin, berkata usaha itu berpaksikan prinsip 'di mana kita beroperasi, di situ kita berbudi' dengan memastikan pembangunan industri turut memberi manfaat kepada ekonomi dan komuniti setempat. Katanya, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memperluaskan peluang syarikat Sabah menyertai rantaian bekalan industri tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti dan daya saing. Selain membuka lebih banyak peluang kontrak kepada syarikat tempatan, PETRONAS turut memperkukuh keupayaan vendor melalui Program Pembangunan Vendor (VDP), VDPx dan Program Pembiayaan Vendor. Sejak diperkenalkan pada 2018, Program Pembiayaan Vendor membantu 19 syarikat Sabah memperoleh pembiayaan melebihi RM128 juta bagi mengembangkan kapasiti perniagaan dan melaksanakan projek berskala lebih besar. Kerjasama antara Kerajaan Negeri, PETRONAS dan SMJ Energy turut diperkukuh menerusi Program Mentorship Sabah serta penubuhan Majlis Kandungan Tempatan Sabah pada 2024 bagi menyelaras pembangunan kapasiti, pembiayaan dan strategi kontrak secara lebih bersepadu. Mohd Razali berkata, peluang yang semakin luas perlu disertai komitmen tinggi daripada vendor untuk terus meningkatkan prestasi. "Vendor perlu memperkukuh keupayaan, mengekalkan tadbir urus yang baik serta memastikan aspek teknikal dan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan jika mahu berkembang secara mampan," katanya. Bersedia rebut peluang baharu Prospek industri minyak dan gas Sabah dijangka terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang menerusi pelbagai pelaburan baharu, khususnya dalam aktiviti penerokaan, pembangunan medan laut dalam dan projek gas. Seiring perkembangan itu, Kerajaan Negeri sedang merangka Pelan Hala Tuju OGSE Sabah 2026-2030 bagi memperkukuh pembangunan industri secara mampan dengan memberi penekanan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kandungan tempatan. Menurut Terry, potensi industri di Sabah masih besar dengan rizab minyak dan gas yang mampu menyokong aktiviti ekonomi untuk beberapa dekad lagi. Beliau berkata, vendor tempatan perlu mengambil peluang membentuk kerjasama strategik, termasuk dengan syarikat dari Semenanjung Malaysia, bagi meningkatkan keupayaan teknologi, pengalaman serta penyertaan dalam projek berskala besar. "Walaupun keupayaan hari ini mungkin masih terhad, ia tidak seharusnya menghalang usaha mencari rakan strategik. Apabila peluang datang, kita mesti bersedia," katanya. Prestasi jadi ukuran kejayaan Terry berkata kira-kira 40 peratus syarikat OGSE Sabah kini sudah beroperasi di luar negeri, namun cabaran sebenar ialah memastikan mereka mampu berkembang dan bersaing dalam projek yang lebih kompleks di peringkat nasional serta serantau. Katanya, landskap industri yang semakin mencabar memerlukan vendor tempatan meningkatkan keupayaan teknikal, kapasiti operasi dan penguasaan teknologi baharu bagi memenuhi keperluan projek berteknologi tinggi. Pada masa sama, keupayaan menawarkan penyelesaian bersepadu serta membentuk kerjasama strategik akan menjadi faktor penting yang menentukan daya saing syarikat tempatan. Justeru, kejayaan ekosistem OGSE Sabah tidak lagi diukur berdasarkan pertambahan bilangan vendor semata-mata, sebaliknya melalui kemampuan syarikat tempatan memenangi projek bernilai tinggi, menguasai teknologi baharu dan bersaing di peringkat nasional, serantau serta antarabangsa. Dengan asas kerjasama yang semakin kukuh antara Kerajaan Negeri, PETRONAS dan pemain industri, Sabah kini berada pada landasan terbaik untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab penting industri minyak dan gas negara. Transformasi yang sedang berlaku bukan sahaja meningkatkan sumbangan negeri kepada ekonomi Malaysia, malah membuka ruang lebih luas kepada syarikat tempatan untuk muncul sebagai pemain utama dalam rantaian nilai industri tenaga pada masa depan. © New Straits Times Press (M) Bhd

This is a summary. Read the full article at the original source.

Read full article at bharian